Monday, May 31, 2010

Peranan Hormon Dalam Penghasilan Susu Ibu

Ada beberapa hormon penting yang terlibat dalam penghasilan susu ibu:
  • Progesteron
  • Estrogen
  • Prolaktin
  • Oksitosin
Penghasilan susu ibu bermula daripada peringkat mamogenesis (pembentukan dan kematangan kelenjar mamari), diikuti dengan laktogenesis (penghasilan dan pancutan susu ibu) dan seterusnya laktasi (pemberian/penyusuan susu ibu kepada bayi).

Empat hormon yang disenaraikan di atas memainkan peranan dalam ketiga-tiga fasa penyusuan ibu tersebut. Corak rembesan hormon-hormon ini merupakan suatu proses homeostasis yang mana pertambahan satu faktor akan memberi kesan (sama ada meningkatkan atau mengurangkan) rembesan hormon-hormon tersebut. Peningkatan dan pengurangan rembesan hormon-hormon ini seterusnya memberi kesan kepada kuantiti susu ibu yang dihasilkan.

Progesteron – penting semasa pembentukan dan kematangan kelenjar mamari, mempengaruhi saiz alveolus dan lobus di dalam payudara wanita hamil. Kandungannya berkurang apabila kelahiran berlaku.

Estrogen – juga merangsang perkembangan dan kematangan kelenjar mamari.

Prolaktin – merangsang penghasilan susu ibu.

Oksitosin – merangsang pancutan susu ibu, merangsang pengecutan uterus selepas kelahiran.

Anatomi Payudara



Penting untuk mengetahui anatomi payudara supaya kita faham bagaimana ia berfungsi dan bagaimana mengekalkan fungsinya… (bukan senang untuk mengekalkan penghasilan susu berterusan selama 6 bulan dan seterusnya 2 tahun!)

Kelenjar Mamari.
Kelenjar mamari atau kelanjar susu adalah suatu organ yang terdapat pada mamalia betina (perempuan) untuk menghasilkan susu untuk anaknya. Kelenjar eksokrin ini merupakan ciri mamalia iaitu menyusukan anak dan juga daripada mana nama kelas “mamalia” itu sendiri terhasil.

Struktur kelenjar susu.
Komponen asas kelenjar susu adalah alveolus yang dilapisi sel perembes susu dan dikelilingi oleh sel mioepitelia. Alveolus ini berkumpul untuk membentuk sekumpulan lobus dan setiap lobus mempunyai duktus laktiferus yang menjurus ke bukaan pada puting susu. Sel mioepitelia boleh mengecut, sama seperti sel otot, dan seterusnya menolak susu daripada alveolus melalui duktus laktiferus ke arah puting di mana susu akan terkumpul pada duktus sinus di bawah areola.

Perkembangan dan kawalan hormon.
Perkembangan kelenjar susu dikawal oleh hormon. Kelenjar susu sebenarnya terdapat pada kedua-dua jantina lelaki dan perempuan. Namun begitu kesan rembesan hormon pada ovari merangsang perkembangan kelenjar susu pada perempuan. Hormon estrogen menggalakkan perkembangannya manakala hormon testosterone merencat pertumbuhannya.

Pembentukan kelenjar susu sudah terbentuk sejak kelahiran lagi, iaitu pembentukan duktus laktiferus tetapi tiada alveolus. Semasa akil baligh hormon estrogen mula dirangsang untuk menghasilkan cabang-cabang duktus yang kemudiannya akan berkembang menjadi alveolus. Alveolus sebenar hanya akan terbentuk semasa kehamilan dengan pertambahan hormon estrogen dan progesteron yang akan membentuk lebih banyak cabang duktus serentak dengan pembentukan lebih banyak tisu adipos dan salur-salur darah.

Kolustrum akan mula dihasilkan pada peringkat akhir kehamilan dan seterusnya pada hari-hari awal selepas kelahiran. Susu sebenar akan dihasilkan beberapa hari selepas itu apabila kandungan progesteron mula menurun manakala kandungan prolaktin mula meningkat. Hisapan bayi akan merangsang pengeluaran oksitosin yang akan merangsang pengecutan sel mioepitelia yang menyebabkan pancutan susu.

Penyusuan Susu Ibu..Sesuatu yang perlu dipelajari

Ramai menganggap (termasuk saya sendiri pada mulanya) bahawa penyusuan ibu adalah suatu fenomena biologi yang akan berlaku secara semula jadi apabila seorang ibu melahirkan anak. Justeru apabila menghadapi masalah atau keadaan seperti kuantiti air susu ibu semakin berkurang, kita juga menganggap ia adalah perkara biasa saja… tidak dapat dielak dan tidak dapat diperbaiki.

Namun begitu, penyusuan ibu adalah sesuatu yang perlu dipelajari dan diberi perhatian penuh sekiranya kita berazam untuk melengkapkan penyusuan ibu secara eksklusif selama 6 bulan dan seterusnya 2 tahun atau lebih. Semasa ibu-ibu sibuk membuat persiapan menyambut kelahiran bayi, ramai terlupa atau tidak mengendahkan untuk menambah pengetahuan tentang penyusuan ibu sebaliknya sibuk dengan persiapan-persiapan fizikal seperti baju bayi, katil, mainan, alatan mandian dan lain-lain. Perkara-perkara tersebut memang perlu diberi perhatian kerana kita mahukan yang terbaik untuk anak-anak kita. Namun ada satu yang TERBAIK yang kita lupakan iaitu SUSU IBU. Siapa berani menyangkal yang susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi??? Jadi berikan yang terbaik untuk bayi kita iaitu SUSU IBU. Sesungguhnya tiada susu di dunia yang mampu menandingi kehebatan susu ibu, malah pengeluar-pengeluar susu formula di dunia masih terus berusaha untuk menghasilkan susu formula yang “menyamai” khasiat susu ibu. Tetapi saya amat percaya yang original itulah yang terbaik dan tiada tandingannya!

Risiko yang mungkin dihadapi bayi yang tidak diberi susu ibu

Berikut adalah senarai risiko penyakit/masalah yang mungkin dihadapi oleh bayi yang tidak diberi susu ibu hasil kajian pakar:

1. Perkembangan kognitif dan kecerdasan.
  • Perkembangan otak bayi belum sempurna sebaik dilahirkan, malah pembentukan dan perhubungan sel-sel saraf berkembang pesat dalam 3 tahun pertama hayatnya. Apabila proses ini selesai, sel otak boleh mati namun tidak akan berganti. Susu ibu yang memang khusus untuk bayi manusia mengandungi semua nutrien yang diperlukan untuk perkembangan otak bayi untuk mencapai potensi maksimum. Sebaliknya susu formula tidak mengandungi semua nutrien tersebut (malah kita tidak mengetahui dengan tepat apakah kandungan sebenarnya!)
  • Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang diberi susu ibu ketika bayi menunjukkan skor yang tinggi dalam ujian kepintaran.
  • Para pengkaji juga mendapati kanak-kanak yang minum susu ibu dalam jangka waktu lama menunjukkan skor kepintaran yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang minum susu ibu dalam jangka masa singkat.
2. Diabetes.
  • Diabetes jenis I (yang diwarisi secara genetik) biasa dikesan di kalangan kanak-kanak . Kajian ke atas kanak-kanak yang tidak diberi susu formula (sekurang-kurangnya sehingga umurnya 1 tahun) mendapati bahawa kanak-kanak tersebut mempunyai kebarangkalian lebih rendah untuk menghidap diabetes.
3. SIDS (Sudden Infant Death Syndrome).
  • SIDS ialah situasi kematian mengejut bayi, biasanya ketika tidur. Tidak diketahui penyebab terjadinya kematian begini. Namun begitu kajian menunjukkan bayi yang diberi susu formula lebih tinggi risiko terjadinya SIDS.
4. Masalah pernafasan.
  • Peningkatan penyakit asma di kalangan kanak-kanak amat ketara pada masa sekarang. Tidak dinafikan faktor persekitaran menyumbang kepada peningkatan tersebut termasuk pendedahan kepada pencemaran udara dan pertambahan bilangan kanak-kanak di nurseri, tadika serta pusat jagaan mendorong pendedahan kepada virus pada usia muda.
  • Kajian menunjukkan pemberian susu formula kepada bayi meningkatkan risiko kepada asma dan juga masalah pernafasan lain seperti respiratory syncytial virus (RSV). Kanak-kanak ini juga lambat sembuh berbanding kanak-kanak yang diberi susu ibu.
5. Jangkitan telinga.
  • Jangkitan telinga agak biasa terjadi di kalangan kanak-kanak. Kajian mendapati risiko terjadinya otitis media (jangkitan telinga) lebih tinggi di kalangan kanak-kanak yang diberi susu formula.
  • Jangkitan telinga sangat sakit bagi bayi/kanak-kanak dan boleh menyebabkan komplikasi lain – pengumpulan cecair di dalam telinga dalam jangka masa yang lama akibat jangkitan itu boleh menyebabkan masalah pendengaran dan perkembangan pertuturan pada kanak-kanak tersebut.
6. Kanser.
  • Kajian mendapati kanak-kanak kecil yang minum susu formula mempunyai risiko lebih tinggi menghidap kanser pada usia mudanya.
7. Jangkitan saluran pencernaan.
  • Tidak dapat dinafikan masalah sistem pencernaan berkait rapat dengan apa yang dimakan. Pemberian susu formula meningkatkan risiko terhadap cirit birit dan lebih buruk lagi mengalami fasa penyembuhan yang perlahan. Ini adalah kerana apabila bayi mengalami cirit birit dan muntah-muntah, doktor selalu menasihatkan supaya mengurangkan pemberian susu formula dan banyakkan minum air (untuk mengelakkan kekontangan). Kurang menyusu bermakna kurang nutrien diperoleh bayi. Sebaliknya bayi yang minum susu ibu masih boleh terus menyusu. Oleh itu bayi akan mendapat nutrien yang cukup dan juga antibodi yang akan membantunya membunuh kuman yang menyebabkan jangkitan pada saluran pencernaannya.
  • Bayi yang minum susu ibu juga jarang-jarang mengalami sembelit sebaliknya bayi yang minum susu formula sering mengalami masalah pembuangan air besar.
8. Keberkesanan vaksin.
  • Pemberian susu formula mengurangkan keberkesanan pemvaksinan dengan mengurangkan respon bayi terhadap penghasilan antibodi di dalam badan.
  • Sebaliknya bayi yang minum susu ibu memberi respon yang baik kepada pemvaksinan dan menghasilkan lebih banyak antibodi di dalam badannya.
9. Perkembangan rahang dan otot muka.
  • Adakah anda menyedari bahawa teknik hisapan bayi yang minum melalui botol (susu formula) berbeza dengan bayi yang minum susu ibu daripada payudara ibunya? Sesetengah orang mengakui bahawa bayi yang minum susu ibu dapat dikenal melalui pipinya yang cantik membulat!
  • Perkembangan rahang, otot muka dan pipi ini akan ketara kepentingannya apabila bayi ini membesar menjadi kanak-kanak nanti kerana bayi yang minum susu ibu apabila besar kelak kurang memerlukan rawatan pergigian berbanding kanak-kanak yang minum susu formula.
  • Penyusuan ibu menjadikan pembentukan rahang dan otot muka terbentuk dengan baik dan seterusnya menghasilkan rahang yang cantik dan gigi yang tersusun rapi.
10. Obesiti.
  • Bayi yang minum susu formula juga terdedah kepada masalah obesiti (kegemukan) pada usia muda (kanak-kanak dan remaja).

Penyusuan Susu Ibu

Susu Ibu?

Apa itu susu ibu?
Penyusuan susu ibu bermaksud bayi anda disusukan dengan susu ibu secara terus tidak kira samada ianya daripada ibu kandung, ibu susuan ataupun ibu angkat. Bagi ibu-ibu yang baru melahirkan pasti akan menghasilkan susu badan dan dapat menyusukan bayi mereka dengan susu ibu melainkan jika anatomi payudara mereka tidak berkembang dan mengalami beberapa penyakit yang memang tidak disaranka/digalakkan untuk menyusukan bayi mereka. Antara sebab-sebab keinginan untuk menyusukan bayi mereka ialah kerana kebaikan-kebaikan yang bakal diperolehi dan nutrisi-nutrisi yang terkandung di dalam susu ibu itu sendiri. Polisi penyusuan susu ibu Malaysia menyatakan bayi perlu diberikan susu ibu sahaja selama 6 bulan dan diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun. Makanan pelengkap mula diberi pada usia bayi 6 bulan.

Mengapa susu ibu?
  • Kandungan Nutrien
Ini kerana di dalam susu ibu mengandungi kandungan lemak, air, gula dan protein dengan kandungan yang sesuai untuk bayi. Di dalam susu ibu juga mengandungi beratus-ratus nutrient yang baik untuk kesihatan dan perkembangan bayi. Antara nutrient-nutrient yang terkandung di dalam susu ibu ialah asid lemak docosahexaenoic (DHA), arachidonic acid (AA), Prebiotik, Probiotik, Kalsium, Vitamin A,Vitamin B, Vitamin C, Vitamin D, Vitamin K dan banyak lagi. Oleh itu, bayi yang diberikan susu ibu mendapat yang terbaik bagi perkembangan otak dan saraf mereka.

Faedah untuk bayi
  • Sistem pertahanan untuk bayi
Susu ibu juga merupakan imunisasi pertama untuk bayi selepas di lahirkan. Antibodi yang dibentuk melalui susu ibu dapat melindungi bayi daripada penyakit-penyakit dan kuman-kuman yang berada di sekeliling kita. Penyusuan susu ibu yang seawal mungkin juga dapat mengelakkan penyakit kuning yang biasa di alami oleh bayi yang baru lahir. Kajian juga membuktikan bahawa susu ibu dapat mengurangkan masalah penyakit jangkitan. Didalam susu ibu mempunyai bahan anti kuman yang dikenali sebagai macrophages. Bahan ini mampu membunuh dan menghapuskan kulat, virus dan bacteria. Oleh itu, bayi yang meminum susu ibu akan mendapat ketahanan daripada pelbagai penyakit seperti radang paru-paru (pneumonia), jangkitan telinga (otitis media), campak, radang saluran pernafasan (bronchitis), influenza dan lain-lain penyakit lagi.
  • Masalah Gas dan Kembung
Kajian juga membuktikan bahawa risiko masalah cirit birit dan kembung/gas dikalangan bayi berkurangan dan dapat dielakkan sekira Ini kerana terdapat bifidus factor yang membantu menentang nya sekiranya bayi diberi minum susu ibu. Ini kerana terdapat factor bifidus yang dapat membantu Lactobacillus Bifidus (bakteria baik) membiak dan menentang bakteria yang menjadi penyebab masalah kembung dan cirit-birit. Selain itu, susu ibu adalah bersih, sudah sedia tersteril, mempunyai suhu yang sesuai untuk bayi anda pada bila-bila masa sahaja.
  • Mengurangkan risiko
Selain itu, penyusuan susu ibu juga dapat mengelakkan risiko kematian bayi secara mengejut atau Sudden Infant Death Syndrome (Cot Death), rabun malam, alahan, masalah obesity, mengurangkan risiko leukemia serta diabetes mellitus jenis 1 (juga dikenali sebagai diabetes bersandar insulin).Mengikut kajian yang dibuat oleh Retina Foundation Of Southwest di Texas, bayi yang mendapat susu ibu lebih mampu menguasai bahasa, mampu menyelesaikan masalah, lebih berdikari dan cemerlang di sudut memori. Ini semua kerana kandungan asid lemak docosahexaenoic (DHA) dan arachidonic acid (AA) yang diperolehi secara serentak daripada susu ibu.

Faedah untuk ibu

Kebaikan penyusuan susu ibu tidak hanya terhad kepada bayi sahaja. Ibu juga akan medapat manfaat dalam proses penyusuan susu ibu.Penyusuan seawal mungkin dapat mempercepatkan pengecutan dan mengecilkan rahim selepas melahirkan. Ia juga dapat mengurangkan risiko pendarahan selepas bersalin. Ibu yang menyusu mempunyai tahap hormon prolaktin yang tinggi yang mana hormon ini membantu anda untuk lebih tenang dan akan membantu anda berehat ketika menyusukan bayi anda. Ibu-ibu yang menyusukan bayi mereka didapati akan mendapat semula berat badan asal ketika sebelum mengandung dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun selepas melahirkan. Ini kerana lemak-lemak yang terkandung didalam badan akan terbakar apabila proses penyusuan berlangsung. Namun begitu, ianya juga bergantung kepada diet dan corak pemakanan ibu.Selain itu, risiko untuk mendapat penyakit barah rahim, barah buah dada, barah ovary serta masalah osteoporosis dapat dikurangkan dengan penyusuan susu ibu.Penyusuan susu ibu juga melalui kaedah Lactational Amenorrhea (LAM) merupakan salah satu kaedah merancang keluarga yang paling ekonomi. Kaedah ini dapat dilaksanakan sekiranya Ibu menyusukan anak mereka secara esklusif dan juga tidak didatangi darah haid selama 6 bulan.Selain daripada itu, susu ibu bukan setakat memberikan faedah daripada segi perubatan sahaja tetapi juga dari segi ikatan kasih sayang antara ibu dan anak, yang mana ianya akan lebih erat ketika penyusuan susu ibu berlangsung.Dalam erti kata yang lain, susu ibu adalah yang terbaik samada dari segi khasiat mahupun dari segi faedah dan kebaikannya untuk bayi dan anda.