Thursday, June 3, 2010

Posisi Penyusuan Susu Ibu


Ada beberapa posisi mendukung bayi ketika penyusuan ibu. Secara asasnya apa saja posisi yang dipilih, ibu dan anak haruslah dalam keadaan selesa, tenang dan tidak menyakitkan mana-mana bahagian badan.

1. Posisi Mendukung (Cradle Hold)

Ibu duduk dalam keadaan tegak dengan bahagian belakang disokong dengan bantal. Bayi diletakkan betul-betul di hadapan ibu dalam keadaan perut bayi bertemu perut ibu. Jika bayi menyusu pada payudara kiri ibu, maka kepala, belakang badan dan punggung bayi diampu oleh lengan kiri ibu. Begitulah juga jika bertukar ke bahagian kanan. Badan bayi juga boleh disokong dengan bantal untuk meninggikannya. Ibu perlu duduk dalam keadaan tegak, jangan membongkok kerana ia akan menyebabkan ibu tidak selesa dan boleh mengakibatkan sakit belakang.


2. Posisi Mendukung Bersilang (Cross-Cradle Hold)

Posisi ini hampir sama seperti posisi mendukung (cradle hold) di atas. Cuma bezanya ialah dalam posisi ini bayi diampu oleh tangan yang satu lagi. Jika bayi menyusu pada payudara kiri ibu, bahagian badan, belakang dan kepala bayi diampu oleh lengan kanan ibu. Tapak tangan ibu mengampu kepala bayi. Badan bayi juga boleh disokong dengan bantal untuk meninggikannya. Ibu perlu duduk dalam keadaan tegak, jangan membongkok kerana ia akan menyebabkan ibu tidak selesa dan boleh mengakibatkan sakit belakang.


3. Posisi Mendakap (Football Hold)

Posisi ini sesuai untuk ibu-ibu yang bersalin secara pembedahan ceaserean kerana badan bayi tidak menekan abdomen ibu yang boleh menyebabkan kesakitan pada bahagian pembedahan. Dalam posisi ini bayi diletakkan di sisi (kiri atau kanan) ibu. Badan bayi disokong oleh bantal dan juga lengan ibu. Juga ibu perlu duduk dalam keadaan tegak, jangan membongkok kerana ia akan menyebabkan ibu tidak selesa dan boleh mengakibatkan sakit belakang.


4. Posisi Berbaring (Lying Down)

Posisi ini juga sesuai untuk ibu-ibu yang bersalin secara pembedahan ceaserean dan juga ibu-ibu yang bersalin normal yang tidak selesa untuk duduk tegak dan mungkin sakit di bahagian bawah. Ibu-ibu perlu berbaring mengiring ke kiri atau ke kanan. Belakang badan ibu dan kepala disokong dengan bantal dalam keadaan selesa. Bayi juga diletakkan dalam keadaan mengiring menghadap ibu. Belakang bayi juga disokong dengan bantal.


Secara amnya:
  • Kepala, tengkok dan badan bayi haruslah dalam keadaan selari
  • Muka bayi menghadap payudara, hidung bayi bertentangan puting payudara ibu
  • Bayi rapat dengan ibu, perut bertemu perut
  • Kepala, bahu dan punggung bayi diampu
  • Ibu dalam keadaan selesa dan tidak membongkok

Adaptasi daripada Booklet Penyusuan Susu Ibu, PPUM
Sumber gambar: med.umich.edu

Uniknya Susu Ibu

Percayalah bahawa susu ibu itu begitu unik dan tiada tolok bandingnya. Kerana susu ibu…

  • sentiasa segar (fresh)
  • tersedia dalam suhu yang optimum
  • tersedia steril
  • tiada pencemaran
  • tersedia bila-bila masa
  • tiada tarikh luput
  • species-specific
  • susu yang paling sempurna dan paling lengkap untuk bayi
  • hanya diperolehi secara semulajadi apabila melahirkan anak
  • mengandungi semua nutrien yang perlu untuk bayi
  • mengandungi sel hidup / leukosit, hormon, enzim
  • mengandungi antibodi
  • mengurangkan risiko jangkitan semua jenis penyakit
  • tidak pernah/amat jarang sekali memberi kesan alahan atau alergi
  • mudah hadam
  • komposisinya berbeza untuk bayi pramatang dan bayi cukup bulan
  • komposisinya berbeza mengikut umur bayi
  • komposisinya berbeza dalam tiap jam dan hari
  • komposisinya berbeza dalam 1 penyusuan (awal dan akhir)
  • mencetuskan rasa ketenangan kepada bayi dan ibu (sebab itu selalunya bayi akan tertidur selepas menyusu… dan ibu juga!)
Banyak lagi 1001 sebab dan keunikan susu ibu. Sebab itu US FDA pernah mengakui bahawa “…the exact chemical makeup of breast milk is still unknown.” Malah khasiat dan komposisi susu ibu tidak mampu ditiru oleh mana-mana susu lain di dunia! Subhanallah…

"Foremilk" dan "Hindmilk"

Dalam satu penyusuan, susu ibu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu susu awal (foremilk) dan susu akhir (hindmilk).

Apabila bayi mula menyusu, dia akan mendapat susu awal (foremilk) yang agak cair (mengandungi air yang banyak, kurang lemak dan tinggi karbohidrat) yang berperanan untuk menghilangkan dahaga bayi.

Manakala di akhir penyusuan bayi akan mendapat susu yang agak pekat (hindmilk) dan mengenyangkan kerana mengandungi kurang air (berbanding foremilk) dan lemak yang tinggi. Hindmilk mengandungi kalori yang tinggi dan ini penting untuk memberi tenaga serta penting untuk tumbesaran bayi.

Wednesday, June 2, 2010

Bayi Kurang 6 Bulan Tidak Perlu Air Tambahan

Telah ditakrifkan bahawa penyusuan bayi secara eksklusif selama 6 bulan adalah pemberian SUSU IBU SAHAJA.


Tahukah anda bahawa bayi yang menyusu secara eksklusif tidak memerlukan tambahan air lain termasuk air masak atau air kosong, glukosa, jus, air teh, kopi dan sebagainya ?

Pemberian air kepada bayi boleh mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan bayi kerana:
  • Pemberian air masak (atau air-air lain) meningkatkan risiko jangkitan penyakit kerana air akan bertindak menghakis salutan bahan pelindung penyakit (immunoglobulin A, IgA) yang diperolehi daripada susu ibu yang menyaluti saluran pencernaan bayi.
  • Pemberian air lain akan meningkatkan kebarangkalian kegagalan penyusuan ibu secara eksklusif kerana apabila bayi telah kenyang dengan minuman lain, bayi akan kurang menyusu daripada ibu dan mengurangkan rangsangan dan seteruskan mengurangkan penghasilan dan pengeluaran susu ibu.
  • Pemberian air lain juga boleh meningkatkan risiko kekurangan zat makanan kepada bayi kerana bayi akan kurang minum susu ibu, oleh itu bayi akan kurang mendapat nutrien daripada susu ibu.
  • Pemberian air kosong akan meningkatkan risiko “keracunan air” atau water intoxication terutama kepada bayi yang berumur kurang daripada 5 minggu kerana air yang terlalu banyak akan mencairkan kandungan garam di dalam darah yang mengakibatkan suhu badan menjadi rendah, bayi mengalami kembung perut dan juga boleh mengakibatkan sawan tarik.
  • Kandungan air di dalam susu ibu adalah sekitar 80-90% sudah mencukupi untuk bayi, sesuai dengan usianya. Jadi bayi yang menyusu secara eksklusif selama 6 bulan tidak memerlukan air tambahan kerana susu ibu sudah memenuhi semua keperluannya untuk air, zat makanan, dan kasih sayang.

Amalan Hospital Rakan Bayi

Terdapat beberapa amalan penting yang biasa dilakukan di hospital terutama hospital rakan bayi untuk membantu ibu-ibu menjayakan penyusuan eksklusif ke atas bayi seperti berikut:

1. Penyusuan awal dalam tempoh 1 jam pertama selepas bersalin.

Rasionalnya:
  • merangsang proses penghasilan dan pengaliran susu yang cepat dan berterusan
  • memastikan bayi mendapat kolostrum yang menjadi imunisasi pertama bayi
  • bayi mempunyai naluri hisapan (rooting reflex) yang kuat sebaik sahaja dilahirkan
  • membantu mempercepatkan pengecutan uterus untuk mengelakkan pendarahan berterusan atau tumpah darah selepas bersalin
  • mengeratkan kasih sayang ibu dan anak
2. “Rooming-in” – bayi diletakkan bersama ibu sepanjang masa.

Rasionalnya:
  • bayi dapat disusukan bila-bila masa
  • mudah meneruskan penyusuan eksklusif
  • merangsang pengaliran dan penghasilan susu ibu
  • mengelakkan bengkak payudara
  • mengeratkan kasih sayang ibu dan anak
  • mengurangkan infeksi/jangkitan
3. “On Demand Feeding” – menyusu mengikut kehendak bayi.

Rasionalnya:

  • menyusu dengan kerap mengikut kehendak bayi
  • mudah meneruskan penyusuan eksklusif
  • merangsang pengaliran dan penghasilan susu ibu
  • mengelakkan bengkak payudara
  • membantu mempercepatkan pengecutan uterus untuk mengelakkan pendarahan berterusan atau tumpah darah selepas bersalin
  • mengeratkan kasih sayang ibu dan anak
4. Tidak memberi bayi baru lahir minuman atau makanan lain selain susu ibu.


Rasionalnya:
  • memastikan bayi mendapat kolostrum yang merupakan imunisasi penting untuknya
  • sistem pencernaan bayi baru lahir masih belum matang untuk memproses makanan atau minuman lain selain susu ibu
  • minuman atau cecair lain menghakis salutan bahan pelindung penyakit yang diperolehi oleh bayi melalui susu ibu
  • mengelakkan risiko infeksi/jangkitan dan cirit birit
  • memudahkan ibu meneruskan penyusuan eksklusif
  • merangsang pengaliran dan penghasilan susu ibu
  • mengelakkan bengkak payudara
5. Bayi tidak diberi puting tiruan atau puting kosong atau pacifier.


Rasionalnya:
  • mengelakkan masalah keliru puting
  • menyebabkan kurang rangsangan ke atas payudara ibu
  • memastikan bayi dapat mempraktikkan lekapan yang betul pada payudara ibu
  • mengelakkan penolakan puting ibu oleh bayi
  • memudahkan ibu meneruskan penyusuan eksklusif
  • merangsang pengaliran dan penghasilan susu ibu
  • mengelakkan bengkak payudara

Kolostrum

Adalah biasa bagi ibu yang baru melahirkan anak mengalami “kurang susu” atau “tiada susu” pada hari-hari awal selepas kelahiran bayi kerana pada 3 hari pertama itu yang dihasilkan hanyalah kolostrum yang pekat, melekit, berwarna kekuningan dan tidak menyerupai air susu.
Kolostrum adalah makanan pertama yang paling baik untuk bayi baru lahir kerana kolostrum mengandungi antibodi yang tinggi untuk melindunginya daripada jangkitan penyakit. Ia kurang lemak, tinggi karbohidrat, tinggi protein dan mudah dihadam. Kolostrum juga membantu mengkumuhkan mekonium (najis pertama bayi di dalam kandungan) dan bilirubin serta seterusnya akan mengelakkan jaundis (demam kuning).

Kolostrum mengandungi immunoglobulin A (IgA) yang menyaluti saluran pencernaan bayi untuk melindunginya daripada jangkitan kuman terutama daripada mukus pada trakea, esofagus atau di sepanjang saluran pencernaan atau kuman-kuman daripada persekitaran. Semasa di dalam kandungan, bayi menerima immunoglobulin G (IgG) daripada ibu melalui plasenta. IgG bertindak melalui sistem peredaran darah iaitu melindungi bayi daripada dalam tetapi IgA melindunginya daripada luar. Kolostrum juga mengandungi sel darah putih (leukosit) yang melawan antigen yang terdiri daripada bakteria dan virus.

Kolostrum bukan sahaja makanan pertama dengan nutrisi yang lengkap bagi bayi baru lahir tetapi yang lebih penting ia melindungi bayi daripada jangkitan. Kolostrum akan digantikan dengan susu matang dalam beberapa hari kemudian. Ia hanya hadir sekali itu sahaja, jadi berilah peluang untuk bayi mendapat imunisasi semulajadinya yang pertama pada hari-hari pertama hayatnya supaya dia dilindungi daripada kuman-kuman yang ada di persekitaran kita ini.

Cara Menggalakkan Pengeluaran Susu Ibu

Berikut saya senarai antara langkah-langkah yang perlu diambil bagi menggalakkan pengeluaran susu ibu dan seterusnya mengatasi masalah kekurangan susu atau tidak cukup susu:
  • Ibu perlu yakin (berfikiran positif)
  • Ibu perlu mulakan penyusuan seawal 1 jam selepas bersalin
  • Ibu perlu menyusukan bayi bila-bila perlu (on-demand) atau sekerap mungkin (biasanya 8-10 kali dalam 24 jam)
  • Ibu tidak perlu menghadkan tempoh masa penyusuan dan kekerapan penyusuan sehari
  • Ibu perlu sentiasa bersama bayi (rooming in) semasa di hospital
  • Ibu perlu memastikan bayi melekap dengan betul pada payudara ketika menyusu
  • Penyusuan pada waktu malam
  • Ibu perlu berehat secukupnya
  • Ibu perlu mengambil makanan berkhasiat secukupnya dan nutrisi seimbang
  • Bayi tidak diberi minuman lain selain susu ibu sahaja
  • Bayi tidak diberi puting tiruan, puting kosong atau pacifier untuk mengelak keliru puting.
Pengeluaran susu ibu akan berkurangan jika ibu rungsing, stress, tidak yakin, bimbang, malu, dalam kesakitan, merokok atau minum minuman keras!

Kegagalan Penyusuan Susu Ibu

Seringkali ibu-ibu mengadu tidak berjaya menyusukan bayi dengan susu ibu sepenuhnya selama 6 bulan pertama usia seorang bayi itu dengan sebab-sebab berikut:
  • payudara tidak cukup susu
  • bayi tidak mahu menghisap susu ibu
  • bayi tidak pandai menghisap puting payudara
  • puting payudara luka/melecet
  • puting payudara tenggelam atau leper
  • bengkak payudara
  • ibu bekerja
  • dan lain-lain lagi
Penting untuk ibu-ibu faham bagaimana payudara berfungsi, bagaimana susu ibu dihasilkan dan bagaimana mengekalkan penghasilan susu ibu untuk memastikan bayi terus diberi susu ibu sekurang-kurangnya selama 6 bulan atau sehingga usianya 2 tahun atau selama mana yang ibu dan bayi mahu.